Wednesday, May 14, 2008

Siapa Kita di Sisi Allah Subhanahuataala


Allah Subhanahuataala yang Maha Mengasihi para hambaNya, menganugerahkan kepada manusia, pelbagai nikmat-nikmat imdadNya, untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Maka, Allah Subhanahuataala memberikan nikmat-nikmat seperti makanan, minuman, perhiasan, pakaian, tempat tinggal dan segala nikmat maknawi kepada mereka (seperti ikmat usaha, kekuatan, kepandaian, kecerdasan, kesihatan, syahwat dan sebagainya), dalam rangkan untuk menjadikan ianya sebagai asbab untuk mereka meneruskan kehidupan mereka. Itu semua merupakan anugerah dari Allah Subhanahuataala

Namun, setelah pelbagai nikmat yang dikurniakan kepada manusia, kilauan nikmat-nikmat tersebut mengaburi pandangan manusia, sehingga akhirnya merasakan, segala kenikmatan yang dimilikinya daripada hasil usaha dirinya. Bahkan, dia merasakan, dirinya sememangnya mempunyai kuasa mutlak, yang memang lahir dari dirinya semata-mata. Dialah yang bekerja lalu mendapatkan duit dan harta. Dialah yang berusaha sehingga berjaya mendapatkan kekayaan dan perhiasan dunia. Dialah yang merancang dan mentadbir kehidupannya sehingga mampu membentuk sebuah kehidupan yang bahagia. Segala nikmat tersebut dirasakan milik mutlaknya dan hasil dirinya, tanpa menyedari, bahawasnya, Allah Subhanahuataalalah yang selama ini menyampaikan nikmat-nikmat tersebut kepadanya, demi menjamin kehidupannya

Dia seperti makhluk yang lain, yang merasakan dirinya terasing dan berperanan, bebas dari sebarang ketergantungan kepada selain daripada dirinya, sehingga timbul rasa, dirinyalah yang berhak untuk terus hidup, dan dirinyalah yang berkuasa mutlak kepada kehidupannya. Pada ketika itu, manusia mula mengkufuri nikmat Allah Subhanahuataala dan melupakan Allah Subhanahuataala, yang merupakan sumber di sebalik kenikmatan yang diperolehinya.

Si miskin (manusia macam kita) ini menyangka, dirinya mempunyai kuasa di samping kuasa Allah Subhanahuataala dalam alam ini, kerana sekurang-kurangnya merasakan, dirinya mempunyai peranan dalam menguruskan kehidupannya, bebas dari campur tangan sesiapa, umpama tahu segala dimensi yang tersembunyi yang beliau sendiri gagal mengilustrasikannya pada realitinya. Ini merupakan hakikat pendakwaan, bahawa dirinya sudah menjadi tuhan, di samping Allah Subhanahuataala yang mentadbir seluruh alam

Dia lupa, bahawa dia wujud juga hasil dari ciptaan Allah Subhanahuataala, dan dia juga lupa, betapa dia sebenarnya memerlukan Allah Subhanahuatala dan masih lagi lemah seperti suatu ketika dahulu. Hanya, kilauan kenikmatan memukau pandangan hatinya, daripada melihat semua yang dimilikinya daripada Tuhannya, sehingga akhirnya menisbahkannya kepada dirinya.

Inilah sifat Iblis dan Qorun, serta mereka yang mengikuti jejak langkah kedua-duanya, dari kalangan manusia. Merekalah golongan yang mengkufuri nikmat Allah Subhanahuataala takkala tidak mensyukuriNya dan tidak menjadikan kehidupannya sebagai wadah ketaatan dan kehambaan kepadaNya.

Setelah mendakwa rububiyah (ketuhanan diri) dengan menisbahkan kekayaan daripada hasil usaha diri sendiri tanpa mengaitkannya dengan pemberian daripada Allah Subhanahuataala, lalu Allah Subhanahuataala memperkenalkan hakikat rububiyah (ketuhanan) yang sebenar, yang hanya merupakan milikNya semata-mata, kepada yang mengaku kehebatan mereka yang lupa daratan, kita semestinya tiada apa upayapun walalupun untuk menarik dan menghembus nafas di atas mukabumi ini. Kita terus menerus dalam kelekaan menghadapi kehidupan ini dan tanpa disedari terlalu banyak mempertuhankan sesuatu yang lain selain Allah Subhanahuataala.

Pada ketika saat-saat kita dihitung oleh Allah Subhanahuataala, tiada lagi guna penyesalan, setelah Allah Subhanahuataala mencabar "ketuhanan" diri manusia yang leka, dengan ketuhananNya yang mutlak dan Esa, dan itulah akibat bagi mereka yang mendakwa ketuhanan diri di samping ketuhanan Allah Subhanahuataala yang mutlak, takkala menisbahkan segala nikmat kepada dirnya tanpa mengembalikan rasa syukur kepadaNya yang merupakan sumber nikmat imdad tersebut.

Mereka yang tidak merasakan dirinya memerlukan Allah Subhanahuataala semata-mata, dalam segala hal, dan merasakan cukuplah bergantung kepada diri sendiri, maka merekalah orang yang mencabar Allah Subhanahuataala. Tiada yang pernah mencabar Allah Subhanahuataala melainkan pasti akan dikalahkan oleh Allah Subhanahuataala, dalam membuktikan KetuhananNyalah yang hakiki

Apabila seseorang mengenali hakikat diri, yang merupakan makhluk ciptaan Allah Subhanahuataala, pasti pada ketika itu merasai bahawasnya, dia datang daripadaNya, dan hanya kepadaNyalah dia akan kembali. Dari situlah, terdetik rasa diri hanya memerlukan Allah Subhanahuataala, kerana Dia yang memberikan nikmat ijaad (penciptaan), Dialah juga yang sebenarnya memberikan nikmat imdad (meneruskan kelangsungan hidup), bak kata Imam An-Nablusi r.a.: "Sesungguhnya, yang menyirammu untuk terus subur ialah, Dia yang menanam dan menyemaimu suatu ketika dahulu".

Maka, dengan demikianlah, timbul rasa diri memerlukan Allah Subhanahuataala, dan hanya kepadaNyalah, rasa ketergantungan dan pengharapan. Dari rasa memerlukan kepadaNya semata-mata inilah, akhirnya melahirkan rasa kehambaan kepadaNya seterusnya menyebabkan seseorang hamba bersifat rendah diri kepadaNya dan mensyukuriNya di atas segala nikmat yang dimilikinya

"Makhluk yang paling sempurna ialah makhluk yang paling merasakan kehambaan dirinya, dan paling menyaksikan dan mengakui kefaqiran dirinya di hadapan Allah Subhanahuataala.

Lihatlah bagaimana, Saiyyidul Khalq (penghulu bagi sekalian makhluk) Saidina Rasulullah Sallallahualaihiwasal sentiasa menzahirkan rasa memerlukannya di hadapan Allah Subhanahuataala dalam setiap keadaannya, seperti yang digambarkan dalam doa Baginda Sallallahualaihiwasalam yang bermaksud: "Wahai Tuhanku. Baikkanlah segala urusanku. Janganlah serahkan ketergantungan diriku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata, ataupun kepada sesuatu dari kalangan makhlukMu" (hadis riwayat Imam Al-Bukhari, Imam Abu Daud dan Imam Ibn Hibban).

Dalam doa ini, ada rahsia ketergantungan agung Nabi Muhammad Sallalhualaihiwasalam kepada Allah Subhanahuataala dan penyaksian kepada keesaan Allah Subhanahuataala dalam menjadi sumber kebahagiaan dan tempat pergantungan mutlak dan hakiki.

Rasulullah Sallallahualaihiwasalm juga pernah mengakui kehambaan diri Baginda Sallallahualaihiwasalam yang mulia dengan bersabda kepada para sahabat r.a.: "…Sesungguhnya, aku adalah hamba. Maka, katakanlah (tentangku bahawasanya aku): hamba Allah dan Rasul Allah" (hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Ahmad)

Maka, kadar kehambaan diri dan penyaksian akan kefaqiran diri kepadaNya, sesuai dengan kadar makrifatuLlah dan makrifatun Nafs seseorang kepada Allah Subhanahuataala.

Oleh yang demikian, hendaklah seseorang muhasabah diri dengan merasakan diri sebagai insan yang Maha Lemah, sehingga akhirnya mengakui diri memerlukan tempat pergantungan. Pada ketika itu, diri yang lemah pasti akan menghalakan fokus kepada Tuhan yang pernah menciptakannya daripada tiada, kepada ad, sebagai tempat pergantungan abadi, kerana Dia yang menanam, Dialah yang akan membajai dan menyiramnya. Dari sinilah, timbulnya kefahaman bahawasanya, Dialah Allah, yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana, yang merupakan satu-satunya tempat pergantungan

Pada ketika itu, timbul sebuah jambatan yang menghubungkan antara dia dengan Tuhannya, iaitu jambatan kehambaan, takkala rasa diri memerlukanNya, hanya Dia semata-mata

Jangan tertipu dengan kenikmatan, jangan tertipu dengan sebab dan musabbab, kerana ia diciptakan untuk kamu, sedangkan kamu diciptakan untuk Allah Subhanahuataala. Bergantunglah hanya kepada Allah Subhanahuataala, penyebab hakiki, bukan kepada makhluk yang merupakan sebab-musababbab, yang merupakan alat-alat Allah Subhanahuataala dalam menyampaikan nikmatNya kepada kita, kerana sesiapa yang bergantung kepada asbab, asbab itu "patah tumbuh, hilang berganti". Ia tidak kekal. Sesiapa yang bergantung kepada asbab, maka, takkala lenyap asbab, dia akan kebingungan, kebimbangan dan kekalutan
Namun, sesiapa yang bergantung kepada Allah Subhanahuataala, nescaya dia akan kekal bersama keabadian Allah Subhanahuataala, dalam penyaksian kebersamaan abadi. Jika terputus asbab darinya sekalipun, dia tetap tenang, kerana ketergantungannya bukan kepada asbab, tetapi kepada Allah Subhanahuataala. Dengan demikian, dia melihat, ada atau tiadanya asbab dalam kehidupannya, hanya sekadar sebagai suatu interaksi Allah Subhanahuataala. kepadanya semata-mata. Ada asbab itu suatu interaksi dan penjelmaan sifat-sifat Jamal (kecantikan) Allah Subhanahuataala kepadanya dan tiada asbab itu suatu interaksi dan penjelmaan sifat-sifat Jalal (keagungan) Allah Subhanahuataala kepadanya. Dia antara dua hal, juga, iaitu, menyambut penjelmaan Jamal Allah Subhanahuataala dengan kesyukran dan menyambut Jalal Allah Subhanahuataala dengan kesabaran, yang meurpakan buah daripada keredhaannya kepadaNya, yang pada hakikatnya (keredhaannya kepadaNya) merupakan buah keredhaanNya kepadanya.

Sunday, May 11, 2008

BENTUK-BENTUK KEBAIKAN


Terdapat dua bentuk kebaikan; kebaikan bentuk perkataan dan kebaikan dalam bentuk perbuatan.


Kebaikan dalam bentuk perkataan ialah berkata dengan baik, menjaga pergaulan dan hubungan kasih sayang dengan perkataan yang indah. Faktor pembangkit atau pendorongnya ialah akhlak yang baik dan tabiat yang lemah lembut tetapi tidaklah secara berlebih-lebihan hingga menjadi sifat yang tercela. jika dilakukan secara sederhana dan berhati-hati, maka ia menjadi suatu kebaikan yang terpuji. di dalam prosa kata-kata hikmah disebut dan bermaksud: "Barangsiapa yang sedikit pemberiannya, sedikitlah kekasih-kekasihnya"


Manakala kebaikan dari segi perbuatan ialah mencurahkan atau mengerahkan tenaga dan memberikan pertolongan dengan dirinya , serta menghulurkan bantuan pada orang yang ditimpa bencana. Faktor pembangkitnya ialah perasaan suka melakukan kebaikankepada orang lain dan mengutamakan kebaikan bagi mereka. Dalam melakukan kebaikan jenis ini, tiada yang boleh dianggap berlebih-lebihan atau melampau atau mempunyai batasannya. Bebeza dengan kebaikan yang pertama (dalam bentuk kebaikan), kerena jika dilakukan dengan banyak sekalipun, perbuatan-perbuatan tersebut kembali kepada dua menfaat: menfaat kepada pelakunya di dalam mendapat ganjaran dan sebutan yang baik, dan menfaat ke atas orang yang ditolong dengan mendapat keringan dan pertolongan.


Wallahua'lam

Bonus 2008







BUNUS. bonus..bonus.. itulah topik yang bermain dan meniti di bibir setiap pekerja masa dan ketika ini. Situasi sebegini bukanlah suatu perkara baru dalam dlm fms, selagi mana duit tidak dimasukkan dlm akaun selagi itulah mereka excited bercerita dan membuat pelbagai spekulasi berhubung tarikh pembayaran bonus, sesetengahnya ada yang bertaruh sehingga sanggup untuk membelanja kekawan di restauran2 mewah dan juga membuat taruhan yang begitu lumayan, ada juga yang telah beberapa kali ke tempat beli belah kononnya "window shopping" ada yg dah membelek2 katalog pusat2 pelancongan sebagai destinasi membawa anak2 mahupun girlpren, ada yang dahpun menempah hotel2 dan tiket tambang murah merancang bagaimana nak menfaatkan uang yg bakal diperolehi, ada yang daah tukar plan rumah nak tambah setiingkat di atas dan setingkat di bawah tanah, yang paling bagus didengari ada yang ingin gunakan bonus tersebut untuk mengerjakan Umrah membawa anak isteri mahupun suami. Berbeza pula dengan golongan yg satu lagi bilamana mereka boleh merasa lega dengan perolehan bonus nanti kerana dapat menyegerakan lansaian hutang2 lama ceti, along mahupun mana2 institusi kewangan yang mereka ada obligasi.
Apa yang meyakinkan saya bayaran bonus tahun ini lebih lumayan dari tahun2 sebelumnya, mungkin ada yang terkejut beruk bila melihat jumlah uang yg dikreditkan dlm akaun masing2, namun tak boleh dinafikan juga ada yg sedih dan terharu kerana nilai di dlm akaunya kurang sangat berbanding dengan kekawan yang lain. Inilah isu yang saya nak sampaikan sebenarnya, walau lumayan manapun jumlah uang dlm akaun kita nanti dan walau kurang manapun jumlahnya, itu bukanlah ukuran yang terbaik untuk kita menilainya di sisi Allah Subhanahutaala. Yang penting sejauh mana kita menfaatkan nilai tersebut ke arah perkara2 yang yang halal dan kita memperolehi ganjaran yang besar bukan sahaja di dunia ini malah ganjaran tersebut di kira dan dinilai kebaikannya di akhirat nanti. Jangan membazir dengan rezeki dan anugerah Allah Subhanahuataala itu. Bagi Muslimin dan muslimat khususnya banyak ruang2 untuk mengerjakan kebaikan dengan uang2 tersebut. Jadi, carilah peluang tersebut dengan kebijaksanaan masing2, "jangan biarkan aliran uang tersebut umpama sampah hanyut yang mengalir dibawa arus deras yang hanyut ke muara tanpa membawa apa2 menfaat pada lautan luas yang menati" Saya amat meyakini kita semua berpeluang untuk melipatgandakan nilai uang tersebut untuk memperolehi sesuatu yang lebih lumayan disisi Allah Subhanahuataala. Carilah keberkatan dan keredhaanNya, kerana apa yang kita perolehi, apa yang kita miliki dan apa jua yang kurang pada kita adalah sebenar-benarnya ketetapan dan ketentuan dan pemberian rezeki dari Allah Subhanahuataala.
dan saya amat2 MEYAKINI bahawa uang2 tersebut tidak akan kekal lama di tangan tuan2 termasuk saya sendiri, samada ianya habis dibelanjakan ataupun kalau disimpan lama2 di bank atau dilaburkan di mana2 ejen pelaburan pasti ia akan ditinggalkan juga suatu ketika nanti bilamana kita pergi mengadap Ilahi. Maka apa jua cara cubalah sedaya mana mungkin untuk kita menahan hawa nafsu dari membazirkan uang2 itu pada jalan yang tak sepatutnya malah carilah jalan yang boleh mengekalkan ia untuk kita kecapinya di suatu tempat yang kekal abadi nanti. InsyaAllah kita akan memperolehi keberkatan dariNya. Sayapun sebenarnya tidaklah mampu untuk mengerjakan kebaikan melainkan dengan pertolongan dan keizinan dariNya. Cuma pandai bercakap dan berpesan2 pada diri sendiri tak lebih dari itu. Wallahua'lam
Jadi selamat mencucuk dan menekan di ATM pada bila2 masa dari sekarang.